Sunday, September 14, 2014

Khalifah al-Rasyid :)

Pada zaman pemerintahan bani Abbasiyyah dan secara tepatnya di bawah pemerintahan khalifah al-Mahdi, terdapat seorang wazir (menteri) bernama Ya'qub bin Dawud al-Sulami. Beliau sangat soleh dan teguh berpegang dengan prinsipnya. Setiap kali melihat khalifah al-Mahdi di dalam kemungkaran atau kelalaian, beliau pasti menegurnya. Khalifah sentiasa menerima teguran tersebut dengan penuh hormat. Sikap ini tentu sahaja menimbulkan hasad dengki dalam kalangan orang tertentu. Mereka berusaha merosakkan nama baik wazir yang soleh ini di mata khalifah dengan pelbagai tuduhan palsu. Antaranya, mereka mengatakan bahawa beliau seorang penganut Syiah. Pada suatu hari, khalifah al-Mahdi berniat untuk menguji kesetiaan wazirnya. Beliau menyerahkan seorang lelaki berketurunan 'Alawi (keturunan Sayidina Ali bin Abi Talib) yang dituduh memberontak kepada Ya'qub bin Dawud. Khalifah bertitah agar orang ini dibunuh. Ya'qub berjanji untuk melaksanakan titah tersebut. Namun apabila mendapati orang tersebut sebenarnya tidak bersalah, Ya'qub bin Dawud enggan membunuhnya. Malah, beliau melepaskan tertuduh tersebut tanpa pengetahuan khalifah. Akibatnya, khalifah al-Mahdi menjadi sangat marah. Beliau menghukum Ya'qub dengan meletakkannya di dalam sebuah lubang lalu menutupnya. Selama 15 tahun, beliau tidak dapat melihat cahaya sehingga matanya menjadi buta, sementara rambutnya pula panjang dan kusut seperti haiwan. Ya'qub bercerita: "Pada suatu hari, seseorang menyeru namaku. Lalu seutas tali diturunkqn, dan aku disuruh untuk mengikatnya pada tubuhku. Tidak lama kemudian, mereka menarikku keluar dari lubang tersebut. Seseorang berkata kepadaku: "Ucapkan salam kepada amirulmukminin." Aku mengucapkan salam da menyatakan nama al-Mahdu kerana aku menyangka khalifah yang berada di hadapanku itu ialah al-Mahdi. Namun, lelaki tersebut berkata: "Semoga Allah merahmati al-Mahdi. Beliau sudah lama mangkat." Aku bertanya: "Khalifah al-Hadi?" Beliau menjawab: "Khalifah al-Hadi pun sudah mangkat. " Aku bertanya lagi: "Khalifah al-Rashid?" Beliau mengakuinya: "Benar." Khalifah Harun al-Rashid berkata: "Aku membebaskan kamu bukan atas permintaan sesiapa. Semalam aku mendukung anakku yang masih kecil di atas bahuku. Tiba-tiba, aku teringat dirimu yang pernah mendukungku ketika aku kecil dahulu. Aku berasa kasihan dengan keadaanmu, maka sekarang aku lepaskanmu." (Al-Bidayah wa al-Nihayah, al-Hafiz Ibn Kathir) #Majalah_Solusi

No comments:

Post a Comment